Thursday, May 18, 2006

Perlukah Negara ini ada dua peraturan?


‘Usah ketepi peraturan kerana orang kenamaan’
Oleh Azrina Ahzan
PUTRAJAYA: Penjawat awam diingatkan supaya tidak membelakangkan peraturan dan undang-undang dalam membuat sebarang keputusan semata-mata kerana tertekan dengan permintaan orang kenamaan, termasuk Ahli Parlimen.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, berkata memang menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen membantu atau menyokong sesuatu permohonan, tetapi ia sekadar memberi sokongan dan menyampaikan hasrat rakyat.“Bila (permohonan) diajukan, kita harus menerima dengan hati terbuka, maknanya kita tak perlu rasa tertekan untuk dipengaruhi. Ia mesti diproses mengikut prosedur.“Penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa akibat tertekan dengan permintaan Ahli Parlimen, boleh dianggap tidak amanah, sekali gus boleh dikenakan tindakan.“Perkhidmatan awam mempunyai peraturan dalam pelbagai hal dan ia jelas menunjukkan apa yang boleh dibuat dan sebaliknya,” katanya selepas menghadiri Festival Nasyid Peringkat Kementerian sempena Maal Hijrah 1427 anjuran Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.Baru-baru ini, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof, menimbulkan kontroversi apabila dikatakan cuba ‘mencampuri’ urusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dengan meminta pegawai agensi itu ‘menutup sebelah mata’ berhubung kes rampasan kayu bergergaji yang dibawa dari Indonesia di Sungai Linggi, Melaka.Bagaimanapun, pegawai KDRM dilaporkan menolak permintaan Ahli Parlimen terbabit dengan alasan ia boleh menggugat kewibawaan jabatan, selain dipersoalkan jika undang-undang tidak ditegakkan.Samsudin mengakui beliau menerima banyak surat permohonan, termasuk yang disokong pihak tertentu dan situasi serupa dialami wakil rakyat. “Setiap orang akan cuba berusaha untuk memohon atau cuba mendapatkan mereka yang dirasakan dapat membantu permohonan itu... ini sesuatu yang lumrah,” katanya. Mengenai penukaran istilah asing ke bahasa Melayu untuk nama jalan dan tempat di pusat pentadbiran negara di sini, Samsudin berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan sedang mengkaji perkataan sesuai bagi menggantikan beberapa istilah seperti ‘parcel’, ‘precint’, ‘boulevard’ dan ‘promenade’.“Kita perlu mengkaji pelbagai perkara termasuk imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan sebelum istilah berkenaan ditukar ke bahasa Melayu,” katanya.“Ia akan dilakukan secepat mungkin selepas kita menemui istilah yang sesuai selaras dengan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

------------------------------------------------------
Sumber : Berita Online

0 Comments:

Post a Comment

<< Home