Wednesday, May 10, 2006

Bagaimanakah pengawai kerajaan perlu bertindak?

YB Jasin pemilik Binyu Sof

Oleh Norfatimah Ahmad, Hassan Omar dan Hasnira Hassan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof (gambar) mengaku beliaulah pemilik Binyu Sof Enterprise, ejen perkapalan dan penghantaran import kayu bergergaji dari Indonesia, yang dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) baru-baru ini.

Katanya, Binyu Sof Enterprise ialah syarikat miliknya yang terbabit sebagai ejen perkapalan dan penghantaran bagi import kayu bergergaji di pelabuhan tukar barang Sungai Rambai dan Kuala Linggi, Melaka. Beliau bagaimanapun, memberitahu sidang media di lobi Parlimen semalam, kayu yang diimport itu bukan milik Binyu Sof Enterprise kerana syarikatnya hanya menjadi ejen bagi urusan berkenaan.Akhbar semalam melaporkan, wujud persamaan antara nama Mohd Said dengan Binyu Sof Enterprise, nama syarikat yang terbabit dalam kes rampasan kayu bergergaji oleh KDRM di Kuala Linggi, baru-baru ini.

Kes itu mendapat perhatian apabila Mohd Said dilaporkan meminta pegawai KDRM supaya ‘menutup sebelah mata’ dan tidak merampas kayu bergergaji diimport dari Indonesia itu, walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi.Mohd Said sebelum ini berulang kali menegaskan campur tangannya dalam kes itu dibuat atas dasar menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen bagi membantu syarikat Bumiputera dan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan.Diminta mengulas mengenainya semalam, Mohd Said turut mempertahankan tindakannya itu dan mendakwa ia memang dibuat bertujuan melindungi peniaga di pelabuhan berkenaan.

Sejak Januari lalu, katanya, KDRM menyita kayu import yang tidak mengikut spesifikasi dan melelongnya sehingga merugikan peniaga, manakala pengeksport pula beralih ke Singapura, sekali gus menyebabkan kerugian kepada negara.“Perniagaan mereka merosot 70 peratus sejak KDRM mengenakan tindakan tegas. Saya merayu kepada Pengarah dan Penolong Pengarah KDRM itu supaya hanya mengkompaun dan tidak menyita kayu itu untuk dilelong.“Jika ada kayu yang besar sedikit, saya minta mereka ‘pejam mata’ dengan mengambil kira kadang-kadang kayu itu terlebih besar kerana masalah ketika memotongnya. Saya merayu bagi pihak mereka yang hampir gulung tikar,” katanya.

Mohd Said berkata, beliau meminta KDRM berbuat demikian kerana sebagai Ahli Parlimen Jasin, pihaknya bertanggungjawab terhadap perkara berlaku di Pelabuhan Sungai Rambai yang berada dalam kawasan Parlimen Jasin.Mengenai pertemuannya dengan pegawai KDRM Ayer Keroh pada 14 April lalu, Mohd Said berkata, beliau ke situ selepas diminta pengusaha jeti, peniaga kayu dan ejen di dua pelabuhan berkenaan.Mohd Said juga berkata, beliau sudah pun memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas tindakannya meminta KDRM ‘menutup sebelah mata’ berhubung kes import kayu tidak memenuhi spesifikasi itu, kelmarin.Katanya, beliau memohon maaf ketika bersalam dengan Perdana Menteri selepas pemimpin itu memberi taklimat khas kepada Umno bahagian, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).“Saya bersalam dengan Datuk Seri Abdullah dan memberitahu beliau... kalau saya salah, saya minta maaf,” katanya tetapi enggan menjelaskan sama ada Perdana Menteri ada menyatakan sesuatu kepadanya.

Mengenai tindakannya mengkritik Ketua Pengarah KDRM di Dewan Rakyat pada 2 Mei lalu, Mohd Said berkata ia bertujuan meningkatkan pentadbiran KDRM dan sebagai orang berpengalaman 10 tahun berurusan dengan jabatan itu, niatnya ikhlas.

Sementara itu, carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Binyu Sof Enterprise ialah syarikat pemilikan tunggal yang dimiliki Mohd Said dan mempunyai alamat kediaman di 676-A Batu 2 1/2 Padang Temu, 75050 Melaka.

Sumber : Berita Harian Online
-------------------------------

Perlukah kerajaan perkenalkan dua undang-undang. Satu untuk orang awam satu untuk VIP?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home