Friday, May 12, 2006

Hanya siasat saja...


BPR siasat kes Ahli Parlimen Jasin
Oleh Azman Zakaria, Anwar Hussin, Hasnira Hassan dan Mohd Feroz Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan kes Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof (gambar) kerana meminta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) ‘menutup sebelah mata’ dan tidak merampas kayu bergergaji yang diimport menerusi syarikatnya, Binyu Sof Enterprise walaupun tidak memenuhi spesifikasi.
Sumber memberitahu Berita Harian, beberapa pegawai BPR Melaka sudah pergi ke beberapa tempat semalam, termasuk ibu pejabat KDRM negeri dan mengambil dokumen untuk penelitian serta siasatan.Tiga pasukan daripada BPR negeri dibentuk kelmarin dan mula bergerak kira-kira jam 11 pagi semalam dengan pergi ke beberapa tempat yang berkaitan untuk memulakan siasatan berhubung kes terbabit.Sepasukan pegawai BPR juga sudah diarah mengumpul maklumat mengenai semua urus niaga membabitkan urusan import kayu oleh Binyu Sof Enterprise bagi mengenal pasti sebarang keraguan, jika ada. “Ini adalah proses biasa dalam menjalankan siasatan. Kita perlu mendapatkan dokumen berkaitan siasatan yang dibuat bagi memastikan ia mencakupi semua aspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, setakat ini pegawai penyiasat belum menemubual sebarang saksi. Ini berikutan siasatan masih pada peringkat awal dan dalam proses mengenal pasti mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit.“Ia akan dilakukan kemudian,” katanya sambil menjelaskan bahawa BPR tidak menolak kemungkinan siasatan akan turut membabitkan pegawai penyiasat dari ibu pejabat BPR, di sini.Ditanya jika Mohd Said akan dipanggil untuk memberi keterangan, sumber itu berkata, sehingga ini keadaan tidak memerlukan mereka berbuat demikian tetapi ia mungkin dilakukan tidak lama lagi.Siasatan terhadap kes itu sudah dimulakan walaupun sebelum BPR menerima laporan mengenainya kerana badan berkenaan kini boleh berbuat demikian jika ia merasakan perlu.Bagaimanapun kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat laporan kepada Pengarah BPR negeri, Idris Zaharudin dan dirakamkan oleh pegawai BPR, Mohd Alizon Shariff.Kelmarin, Mohd Said mengaku beliau ialah pemilik Binyu Sof Enterprise, ejen perkapalan dan penghantaran import kayu bergergaji dari Indonesia, yang dirampas KDRM baru-baru ini.Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meminta semua pihak memberi masa yang cukup kepada pihak berkuasa melakukan siasatan secara adil dan telus.“Kes itu kini menjadi tumpuan dan siasatan BPR mungkin diselesaikan tidak lama lagi manakala kertas siasatannya akan dihantar kepada saya,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.Abdul Gani berkata, siasatan terhadap Mohd Said itu boleh dibuat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997, atau Ordinan 22 Kuasa-kuasa Perlu Darurat 1970 yang belum lagi dimansuhkan.Seksyen 21 Ordinan 22 menyebut, mana-mana anggota pentadbiran atau Ahli Parlimen atau penjawat awam yang melakukan apa-apa perbuatan rasuah adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan hukuman.“Bagi maksud perkataan rasuah, Seksyen 2 ordinan yang sama mengatakan perbuatan rasuah ialah yang dilakukan mana-mana anggota, Ahli Parlimen atau pegawai menggunakan kedudukan jawatannya untuk faedah kewangannya atau faedah yang lain.“Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa jika siasatan dibuat, tidak semestinya ia bermakna orang itu memang membuat kesalahan,” katanya.Walaupun enggan mengulas kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam kes itu, Abdul Gani berkata, beliau berasa ‘terganggu’ dengan hakikat mengapa Binyu Sof Enterprise yang dilaporkan sudah banyak kali melakukan kesalahan serupa, tidak didakwa di mahkamah.“Penguat kuasa mesti menggunakan budi bicara mereka sama ada untuk mengenakan kompaun atau mendakwa di mahkamah. Jika di mahkamah, hakim akan mengenakan hukuman berat kepada pesalah yang mengulangi perbuatan yang sama,” katanya.Sementara itu, Pengarah Pencegahan KDRM, Mohamed Adnan Arifin, berkata pihaknya adalah agensi penguat kuasa yang bertindak atas kuasa yang diwakilkan oleh Lembaga Perindustrian Perkayuan Malaysia (MTIB).Mohamed Adnan berkata, terpulang kepada MTIB sama ada untuk mendakwa individu atau syarikat yang melakukan kesalahan kerana mereka yang mengeluarkan permit import bagi balak atau kayu bergergaji.


Sumber: Berita harian Online

----------------------------------

Siasatan sudah banyak ....tapi belum ada yang dikenakan tindakan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home