Friday, May 12, 2006

Kontravesi berterusan lagi

Mohd. Said: Saya bukan tauke balak
Oleh MD. ZAN SAARI
MELAKA 12 Mei - Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd. Said Yusof (kiri) berkata, dia bukan tauke balak seperti dianggap oleh sesetengah pihak dan kayu bergergaji yang menjadi punca kontroversi bukan milik syarikatnya.
Sebaliknya, beliau berkata, kayu tersebut dibawa masuk dari Indonesia untuk dijual kepada pembeli di Melaka dan bukan beliau yang mahu membeli atau menjualnya.
``Syarikat saya, Binyu Sof Enterprise, agensi perkapalan dan penghantaran kayu bergergaji hanyalah ejen (forwarding) kepada pembeli di sini.
``Kalau tidak percaya boleh periksa akaun bank saya, hanya ada tidak sampai RM20,000, tak cukup untuk jadi seorang tauke balak,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan supaya Mohd. Said dihadapkan ke mesyuarat khas Whip serta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan lanjut ke atasnya.
Menurut Perdana Menteri, siasatan ke atas Ahli Parlimen itu perlu dibuat bagi mendapatkan penjelasan dan kepastian kes rampasan kayu bergergaji oleh kastam di Kuala Linggi, di sini baru-baru ini yang dikatakan melibatkan syarikat Mohd. Said.
Sementara itu, Mohd. Said berkata, beliau akur kepada arahan Perdana Menteri, yang mahu BPR menyiasatnya berhubung tindakannya yang dikatakan meminta kastam menutup `sebelah mata'.
Katanya, BPR boleh menemuinya pada bila-bila masa dan beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya.
``Saya juga berharap agar perkara ini boleh diselesaikan dengan seberapa segera yang mungkin.
``Jika BPR mahu datang, silakanlah, saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya, tiada apa yang perlu ditakuti,'' tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, media kini seolah-olah sudah menjadi hakim kepada dirinya berikutan laporan demi laporan yang disiarkan.
Katanya, beliau dihujani pelbagai soalan yang membuatkan dirinya sudah kelihatan seperti orang salah.
Mohd. Said bagaimanapun memberitahu, kehidupannya masih seperti biasa.
``Tidak ada apa yang pelik, saya masih seperti dulu,'' katanya yang akan ke Sarawak pada minggu depan untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Mohd. Said menarik perhatian ramai apabila dikatakan meminta kastam supaya `menutup sebelah mata' terhadap kes rampasan kayu bergergaji di Pelabuhan Kuala Linggi di sini.
Isu itu turut membawa kepada peletakan jawatan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BBC), Datuk Shahrir Samad selepas beliau menyokong usul DAP untuk membawa dakwaan salah laku Mohd. Said ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sumber: Utusan Online

0 Comments:

Post a Comment

<< Home